Wednesday 4 April 2018

MENANGANI ISU KETIDAKPERCAYAAN DALAM KALANGAN PASANGAN




OLEH:

DR. AHMAD KAMAL BIN ARIFFIN
PENGASAS
PUSAT ASUHAN PERTIWI MALAYSIA

  
PENDAHULUAN

Terlalu banyak isu kaunseling keluarga yang saya kendalikan mutakhir ini berkisar mengenai krisis ketidakpercayaan kepada pasangan masing-masing. Ada suami tak percayakan isteri. Ada isteri yang tak percayakan suami. Ketidakpercayaan dari aspek kesetiaan, kejujuran dan keikhlasan sebagai suami mahupun isteri. Jelasnya, isu tersebut banyak berlaku dalam kalangan pasangan yang berkerjaya, masih muda dan berpendidikan tinggi pula. Malah, semakin tinggi pendidikan, tinggi pendapatan, tinggi pembacaan, semakin tinggi pula bentuk dan jenis kes-kes yang menimbulkan ketidakpercayaan kepada pasangan mereka. Ada pasangan menjadi marah, benci, dendam, trauma dan memfailkan perceraian di mahkamah Syariah. Banyak kaunselor perkahwinan terkesan dan tertekan juga untuk merangka strategi dan teknik kaunseling keluarga terbaik untuk membantu menangani masalah yang sedang dialami pasangan berkenaan. Persoalannya, bagaimana isu tersebut boleh timbul? Apakah pula solusinya? Saya jelaskan berdasarkan pengalaman saya sebagai kaunselor “kaunseling keluarga”.



PUNCA KRISIS KETIDAKPERCAYAAN TERHADAP PASANGAN
Hakikatnya, isu yang menjadi krisis ketidakpercayaan terhadap pasangan masing-masing sebenarnya berpunca daripada masalah sikap. Soal sikap sangat ditekankan oleh  junjungan Nabi Muhammad Saw. Kisah sahabat Nabi Muhammad Saw bernama Abu Musa Al Asya’ari bertanya kepada baginda Rasullullah Saw “Wahai Rasullullah, siapakah orang Islam yang paling utama? Maka Rasullullah Saw menjawab; Seorang muslim yang kaum muslimin selamat dari gangguan sikapnya pada lisan dan tangan”. – (Muttafaqun Alaihi). Sehubungan dengan itu, bahawa sikap negatif dalam kalangan pasangan pada hemat saya adalah yang merujuk kepada;
1.   Kelalaian dalam beribadat
2.   Hilang kesetiaan akibat terpedaya dengan godaan orang lain
3.   Kecuaian pasangan yang tak fokus kepada pasangan masing-masing
4.   Lupa amanah bagi menjaga kebajikan jasmani, emosi, rohani dan intelek pasangan
5.   Lupa akan pengorbanan pasangan sedari awal perkenalan hingga ke jinjang perkahwinan.
Kita mesti sedar bahawa setiap  insan memiliki ego, maruah, perasaan, impian dan daya tindakan tersendiri. Layanan dan perhatian yang mereka terima adalah cerminan daripada nilai akauntabiliti, empati dan sikap peduli akan pasangan mereka sendiri. Maka apabila berlaku sikap kecurangan dan tak bertanggungjawab terhadap pasangan, timbul persoalan siapa paling banyak buat silap? Bahawa sikap negatif yang menimbulkan ketidakpercayaan pasangan bukan sahaja ada pada personaliti kaum Adam, malah ia juga ada pada kaum Hawa. Mengenainya, banyak alim ulamak dan pakar kaunseling keluarga memberi ingatan seperti berikut;
“Mencegah lebih baik daripada merawat”
“Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya”
Ghalibnya, banyak pasangan suami isteri dalam kalangan rakyat kita tidak cukup mapan iman dan motivasi kendiri bagi berdepan dengan ujian;
1.  Tekanan kewangan keluarga
2.  Tekanan hawa nafsu seksual
3.  Tekanan bersosial dengan rakan sekerja
4.  Tekanan fesyen dan hiburan di luar rumah
5.  Tekanan caragaya hidup moden yang bersifat hedonism

Apabila pasangan sudah hilang kepercayaan, akan timbullah isu;
1.  Penistaan
2.  Penghinaan
3.  Pergaduhan
4.  Perseteruan
5.  Pertelingkahan
6.  Akhirnya boleh bercerai berai
Umum memaklumi, bahawa kehidupan di bandar seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Johor Bahru, Seremban dan seumpamanya banyak menguji iman kalangan ahli masyarakat khususnya kalangan pasangan yang sudah berkahwin bagi terlibat dengan aktiviti maksiat, kecurangan dan kelalaian terhadap tanggungjawab diri terhadap pasangan masing-masing. Misalnya, jika ada kalangan pasangan yang bekerja sebagai usahawan MLM, ejen insuran, pegawai pemasaran, wartawan, jurujual dan seumpanya, banyak ujian berupa godaan daripada pelbagai pihak yang terpikat dan terpesona dengan kelebihan rupa paras dan penampilan yang dimiliki.
Menurut Nabi Muhammad Saw, tidak ada perkara halal yang paling dibenci oleh Allah Taala melainkan perceraian (HR Muslim). Sedangkan pahala membina ikatan pernikahan bagi setiap pasangan muslim sama nilai pahala nya dengan membina sebuah masjid. Maka bayangkan jika sebaliknya yang berlaku. Sungguh mendukacitakan bukan sahaja buat junjungan Nabi Muhammad Saw malahan buat kita semua kaum muslimin. Justeru, isu ini sangat penting untuk diambil iktibar dan pengajaran buat setiap pasangan muslim kita di Malaysia khususnya dan dunia amnya.



CARA MENDAPAT KEPERCAYAAN OLEH PASANGAN

Sebenarnya, untuk miliki kepercayaan pasangan tidaklah sukar, sulit atau misteri.  Ia bermula dengan keyakinan tinggi dalam diri sendiri. Kita mesti yakin kita boleh menjadi pasangan yang soleh, mulia dan berwibawa, tanpa menunggu pasangan masing-masing berbuat kebaikan terlebih dahulu kepada diri kita. Inilah yang ditegaskan dalam pepatah Melayu lama;
“Berharap kepada anak, buta mata sebelah
Berharap kepada orang, buta mata keduanya”

Ironinya, kepercayaan pasangan  boleh dibina dengan amalan-amalan terpuji seperti berikut;

1.   Setiap pasangan mesti bersolat jemaah. Mengenainya, pihak suami mesti pimpin solat jemaah. Jangan pula suruh isteri yang jadi imam. Ini pun boleh timbulkan ketidakpercayaan terhadap wibawa seseorang suami. Bercakap sebagai seorang muslim tetapi tidak mampu pula jadi imam. Masalah banyak berlaku dalam kes begini jika seseorang suami itu miliki isteri yang jauh lebih tinggi ilmu keagamaannya sebaliknya si suami  sebelum kahwin banyak berlakon kononnya terampil sebagai seorang yang warak, namun realitinya naïf dari segi pengetahuan agama khususnya dalam bab ibadah solat.
2.   Setiap pasangan mesti menjauhkan diri daripada sikap yang banyak Syaz (kejanggalan) misalnya berubah sikap asyik pulang lewat ke rumah, asyik marah-marah, kurang membelai pasangan, sudah tidak romantik seperti sebelumnya dan tidak peka lagi dengan tarikh-tarikh penting buat pasangan masing-masing misalnya tarikh lahir dan tarikh hari berkahwin untuk majlis meraikannya bersama.
3.   Setiap pasangan mesti berusaha untuk memantapkan imej diri dari hari ke hari. Misalnya mesti berusaha mantapkan daya komitmen diri untuk memasak, membersih rumah, membasuh baju dan melayan pasangan dengan bersungguh-sungguh. Niatkan demi untuk meraih pahala sebanyaknya dan untuk mendapat reda Allah. Keberkatan Allah dekat kepada orang yang berbuat baik dengan sungguh-sungguh kepada pasangan masing-masing.

Bidalan Melayu lama ada merakamkan;
“Hendak seribu daya, kalau tak hendak seribu dalih”. Setiap kebaikan adalah rahmat daripada Allah Taala. Manakala setiap keburukan adalah pilihan setiap manusia. Natijahnya buruk dan memberi kesan duka di hati. Sebab itu setiap pasangan yang mahu kebahagiaan dalam hidup mesti berusaha untuk menjadi seorang yang berperibadi baik dan berlumba berbuat kebajikan terhadap pasangan hidup mereka. Al Quran banyak merakamkan kata-kata kebaikan tersebut dengan  perkataan misalnya khair, hasanah, ihsan,  toiyibah, birr, amal salih, fadhilan dan fadhail. Manakala sikap buruk yang minimbulkan ketidakpercayaan terhadap pasangan masing-masing di sebut dalam Al Quran sebagai syar, su’, ithm, maksiat, fusuq, ‘isyan, fasad, fahisah, fahsya, munkar, radzilah dan radzail. Jelasnya, dalam satu hadis Nabi Muhammad Saw, baginda telah menyatakan seperti berikut iaitu maksudnya “Kebajikan itu ialah berkaitan sikap yang baik (mahmudah), manakala kejahatan (fasad) itu adalah sesuatu yang terbenam (rahsia) di dalam hati dan kamu tidak suka apabila orang lain mengetahuinya”. – (HR Muslim)
Tatkala menghadapi ujian misalnya berupa godaan, rayuan dan pujukan iblis jin dan manusia berniat jahat, seseorang itu akan berjaya mengatasinya dengan adanya sikap setia, iman yang kukuh, keberanian emosi untuk membuat keputusan yang betul dan efikasi diri yang tinggi untuk menjauhkan diri daripada terjebak dengan cinta palsu dan skandal yang boleh mengundang ketidakpercayaan pasangan hidup masing-masing.



KESIMPULAN

Setiap perbuatan baik pasti akan dibalas baik oleh Allah Taala. Tak perlu banyak retorik dan tindak licik (cunning) untuk membina kepercayaan dan kasih sayang oleh pasangan hidup kita. Memang seniman agung negara iaitu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ada berkata lagikan lidah boleh tergigit inikan pula suami isteri. Fitrah hidup ini, kita memang akan terdedah kepada konflik, persepsi, spekulasi, fitnah dan benci. Namun, sedarkah kita bahawa jika kita miliki hati yang bersih, pemaaf, cara bercakap yang sopan dan personaliti hidup yang mulia bermula di dalam rumah lagi, maka insya Allah pasangan kita akan hormati kita.  Dia akan rasa sentiasa bangga, selamat, ceria dan kagumi diri kita sebagai pasangannya. Dia juga akan sentiasa terbayang akan akhlak mulia kita. Sikap baik kita akan memberi kesan kepada seisi keluarga kita. Misalnya, kita rakyat Malaysia sedia maklum betapa Tun Sakaran Dandai mantan Ketua Menteri Sabah, sebagai seorang suami yang pengasih, ayah yang berwibawa  dan pemimpin rakyat Malaysia yang disegani dan dicontohi akan ketertiban apabila berbicara, karismanya dalam setiap tindakan dan biografi dirinya ternyata menunjukkan dia seorang insan yang berwibawa dan mendapat kepercayaan tinggi oleh pasangannya dan juga seisi keluarganya. Inilah yang diharapkan akan dicontohi sikap orang yang mulia dan berjaya ibarat kata “Kepimpinan Melalui Teladan”.



No comments:

Post a Comment