Tuesday 5 June 2018

KISAH SIKAP MULIA JUNJUNGAN NABI MUHAMMAD SAW




OLEH : Dr. Ahmad Kamal bin Ariffin


PENGISIAN

Pada suatu ketika, baginda Nabi Muhammad Saw telah berpisah selama sebulan daripada isteri-isteri baginda. Ia berlaku kerana salah seorang daripada isteri baginda telah menyinggung perasaannya. Maka selama sebulan baginda tinggal berseorangan dalam sebuah bilik di masjid. Kemudian, suatu khabar angin telah tersebar dalam kalangan para sahabat yang mengatakan bahawa Nabi Muhammad Saw telah menceraikan isteri-isterinya. Apabila Umar R.A mendengar khabar angin itu, dia pun berlari ke masjid. Setibanya di masjid ia dapati sahabat-sahabat Nabi Saw sedang duduk termenung dengan kesedihan jelas terbayang di wajah mereka. Meninggalkan mereka, Umar terus berjalan ke rumah anaknya Hafsah R.A yang menjadi isteri Nabi Saw. Dia dapati Hafsah R.A menangis-nangis di dalam biliknya. Dia bertanya; Mengapa kamu menangis? Bukankah selama ini aku telah melarang kamu supaya jangan melakukan sesuatu yang mungkin menyinggung perasaan Nabi Saw?”. 

Kemudian dia berjalan ke masjid sekali lagi. Kelihatan olehnya beberapa orang sahabat sedang menangis berdekatan dengan mimbar. Di sini dia duduk bersama-sama sahabat yang lainnya. Tetapi oleh kerana terlalu sedih, dia bangun lalu berjalan ke arah bilik Nabi Saw yang terletak di tingkat atas masjid itu. Lalu dia mendapati Rabiah R.A, seorang hamba, sedang menduduki tangga ke bilik itu. Melalui Rabiah R.A, dia meminta izin hendak berjumpa dengan Nabi Saw. Nabi tidak melahirkan sepatah kata pun sebagai menjawab permintaannya. Permintaannya untuk menemui Nabi Saw dibuat beberapa kali dan hanya pada kali yang ketiga sahaja baharu Nabi mengizinkan dia naik. Apabila dia masuk, dia dapati Nabi Saw berbaring di atas sekeping tikar yang diperbuat daripada daun pohon tamar. Kesan-kesan tikar itu jelas kelihatan pada kulit badan Nabi Saw. Berdekatan dengannya pula terdapat sebuah bantal yang diperbuat daripada kulit binatang yang disumbat dengan kulit-kulit pohon tamar.

Umar R.A bercerita;

“Saya menyampaikan salam kepadanya lalu bertanya : Sudahkah tuan menceraikan isteri-isteri tuan?”. Baginda Nabi Saw menafikan perkara itu. Saya berasa lega sedikit dan sambil berseloroh saya mengatakan; “Ya Rasullullah, kita kaum Quraish selamanya telah menguasai wanita-wanita kita. Tetapi keadaan berlainan sungguh dengan orang-orang Ansar. Mereka dikuasai oleh wanita-wanita mereka sehingga wanita-wanita kita telah terpengaruh”.  Nabi tersenyum mendengar kata-kata saya yang lucu. Kemudian saya memerhatikan keadaan di dalam bilik itu. Saya lihat ada tiga keping kulit binatang yang telah disamak dan sedikit barli di suatu sudut. Selain daripada itu tidak ada sesuatu apa pun.  Saya lalu menangis. Lalu Nabi Muhammad Saw bertanya : Mengapa kamu menangis? Saya menjawab : “Betapa tidak, ya Rasullullah. Saya sedih melihat bekas-bekas tikar yang tuan tiduri di badan tuan dan sedih melihat keadaan bilik ini. Semoga Allah mengurniakan tuan dengan bekalan-bekalan yang lebih banyak. Orang-orang Parsi dan Romawi yang tidak menyembah Allah mempunyai raja yang hidup mewah. Mereka hidup ditaman yang ditengah-tengahnya mengalir anak-anak sungai sedangkan Pesuruh Allah hidup  dalam keadaan serba miskin. Semasa saya mengeluarkan kata-kata tersebut, Nabi saw sedang bersandar dibantalnya. Kemudian baginda dengan serta merta bangun lantas berkata “Wahai Umar, nampaknya kamu masih dalam keraguan. Kesenangan dan keselesaan hidup yang bakal kita perolehi di akhirat nanti sudah tentu lebih baik daripada apa yang terdapat di dunia ini. Kalau di dunia ini mereka hidup mewah, keadaan akan berubah di akhirat kelak. Di sana kita yang akan menikmati segala-galanya”. Mendengar kata-kata Nabi Saw saya berasa kesal lalu berkata “Ya Rasulullah, berdoalah kepada Allah agar Allah mengampuni saya. Saya telah bersalah dalam hal ini.

Sembari itu, seorang hamba Allah telah bertanya kepada isteri baginda iaitu Aishah R.A mengenai tikar-bantal Rasullullah Saw.

Maka Jawab Aishah R.A  ; “Ianya terdiri dari sebuah bantal yang diperbuat daripada kulit binatang yang diisikan dengan kulit-kulit pohon tamar”.

Soalan yang sama dikemukakan kepada Hafsah R.A. Dia menjawab “Ianya terdiri dari sehelai kain terpal yang dilipat dua. Pada suatu hari, untuk memberi keselesaan buat baginda Nabi Saw tidur, saya telah menghamparkan kain itu berlipat empat. Pada keesokkan paginya itu baginda bertanya; “Apakah yang awak hamparkan untuk saya malam tadi?”. Maka saya menjawab “Kain yang sama tetapi berlainan lipatannya.” Lalu baginda berkata “Lipatkanlah seperti dahulu. Keselesaan yang bertambah itu akan menghalangkan Tahajud”.


RUMUSAN


Demikianlah kisah Nabi Muhammad Saw yang menunjukkan betapa kita perlu mencontohi akhlak baginda. Dunia ini tempat untuk kita beribadat. Dunia ini tempat untuk kita buktikan kepada Allah bahawa kita hambanya yang bertakwa. Allah akan membalas keadaan hidup yang luar biasa penuh nikmat dan ia berkekalan selama-lamanya di akhirat kelak. Andai keadaan kita hidup di dunia ini serba kekurangan, maka bersyukurlah. Sebab keadaan hidup baginda Nabi Muhammad Saw sendiri memilih untuk zuhud, kurang makan dan jauhi diri daripada kemewahan. Kekurangan makan minum dan tempat tidur pada Nabi Muhammad Saw membantu baginda untuk gigih merintih, merayu, berdoa dan memohon ampun dan rahmat daripada Allah Azza Wajalla. Kasihanilah sikap para saudara kita di Malaysia yang hidupnya serba mewah kaya raya serba makan pakai cukup tetapi kita risau amal ibadah mereka kurang. Paling kita risau hidup mereka penuh noda dan dosa pula. Mungkin para masakin dan amilin yang kita lihat hidup serba dhaif, makanan kurang, kenderaan buruk ditambah rumah mereka kecil, namun amal ibadah mereka amat tinggi dan mereka amat dikasihi Allah pula, kesan sikap tawaduk dan takwa.


No comments:

Post a Comment