Wednesday 18 July 2018

CIRI SUAMI ROMANTIK DAMBAAN ISTERI SEDUNIA


OLEH :
DR. AHMAD KAMAL BIN ARIFFIN


PENDAHULUAN

Romantik adalah perkataan dambaan wanita. Fitrah wanita memang suka suami yang romantik. Sifat romantik jika dirujuk kepada suami atau kaum lelaki bermaksud bijak menyeronokkan hati isteri. Ciri-ciri suami romantik ialah pandai membelai perasaan isteri dengan puji-pujian, bijak membelai tubuh badan isteri, cekap untuk membaca hati dan kehendak isteri dan yang penting sentiasa teruja misalnya untuk memeluk, mencium, mendukung dan mengurut tubuh badan isteri tanpa dipinta.
Namun, banyak kaum lelaki dilihat gagal dalam memimpin isteri dan anak-anak di rumah meskipun secara zahirnya punyai trait personaliti “romantic” seperti pernyataan di atas. Ia berpunca daripada beberapa kelemahan diri suami tersebut. Ianya adalah seperti berikut;
1.       Kewangan dirinya tidak mapan. Natijahnya, pihak isteri akan merasa tidak selamat sebab mereka tidak mampu memasak, mengurus kebajikan keluarga dengan lancar dan akhirnya jiwa mereka tertekan. Apabila jiwa tertekan akibat sakit poket (masalah kewangan keluarga), akan timbul krisis komunikasi misalnya berleter tanpa kesudahan, marah-marah dan perasaan benci.
2.       Kurang ilmu agama dan penghayatan hidup beramal ikut syariat agama. Ia selari dengan pesanan jumhur orang alim iaitu “Hidup ini bukan hanya tentang apa yang kita hendak tetapi apa yang Allah hendak”.
Sikap romantik semata-mata tidak boleh menyelesaikan masalah;
1.       Kewangan
2.       Kerohanian
3.       Kekeluargaan
Apa yang masyarakat kita perlu sedar dan peka ialah sikap romantik sejati mesti berakar umbikan kekuatan ilmu dan amal agama, kekuatan kewangan suami dan kekuatan konsep kendiri suami dalam usaha membawa isterinya ke jalan hidup yang diredai Allah. Sebab itu saya selalu mendapati banyak dalam kalangan klien saya melalui sesi kaunseling keluarga mengakui meskipun suami mereka miliki duit banyak, harta banyak dan berpangkat, namun kehidupan kekeluargaan mereka hambar, sering bertengkar dan ada yang sampai bercerai berai. Dirumuskan sesi, tiada jalan lain untuk membina keluarga bahagia melainkan mengembalikan sikap kepimpinan suami romantik yang bukan sahaja bijak meromen isteri secara fizikal di dalam rumah, malah juga bijak meromen isteri dari aspek emosi, rohani dan spiritual dengan melakukan perkara berikut;
1.       Memimpin isteri (kalau ada anak, mesti bawa anak-anak sekali) solat berjemaah
2.       Memberi tazkirah dengan membaca al Quran dan tafsirnya atau membaca Hadis Nabi Saw setiap hari paling kurang sekali.
3.       Sentiasa memanjakan isteri dengan ucapan doa-doa restu, pujian, harapan dan kasih penuh ihsan hingga ke syurga nanti
Banyak kalangan isteri mengakui fitrah mereka kaum wanita ialah mendambakan sikap romantik suami yang penuh hemah, tabah dan kreatif dalam usaha membawa isteri membina suasana hidup beragama.  1001 masalah rumahtangga menjadi reda, terungkai dan selesai apabila suami romantik dalam membelai keperluan jasmani, emosi, semangat dan rohani isteri melalui;
1.       Ucapan-ucapan yang menyentuh hati misalnya “ Abang syukur sangat sayang masakkan abang lauk ikan sambal ni. Abang doakan sayang dibalas syurga Firdausi. Amin”.
2.       Menggosak-gosak lengan, peha, leher dan pinggang isteri sambil memuji-muji akan keluhuran dirinya misalnya “Sayang ni isteri yang sangat hebat. Abang rasa sangat bersyukur Allah anugerahkan abang isteri yang hebat macam sayang”.
3.       Apabila isteri bertanya dimana hebatnya dia? Maka suami jawablah begini “Sayang ini hebat dari segi sikap sabar, bertanggung jawab, lembut hati, tahu kesukaan abang, pandai jaga hati abang dan sanggup berkorban demi kebaikan diri abang”.

Suka saya kongsikan disini seni komunikasi romantik suami yang hebat menurut perspekstif Islam. Ianya adalah seperti berikut;

1.                   CARAGAYA BERCAKAP ROMANTIK AL BALIGHA
Suami jenis begini bijak menggunakan ayat romantik yang bersifat memotivasi dan mendorong si isteri untuk teruskan daya usaha untuk mencapai impiannya. Ini banyak dilakukan jika si isteri itu seorang usahawan niaga, tenaga pengajar di sekolah, pensyarah university, pemimpin masyarakat dan seumpamanya. Contoh ayat romantik Al Baligha ini adalah seperti berikut ; “ Sayang ini abang tengok seorang wanita yang tegas pendirian, fokus terhadap cita-cita dan banyak ilmu dalam apa yang sayang nak buat. Abang percaya berkat doa abang dan sikap sayang yang tak pernah tinggalkan solat Dhuha ni, sayang akan berjaya capai impian sayang dengan kejayaan cemerlang. Abang yakin! Insya Allah, sayang pasti berjaya ni! Sambil bercakap tu, si suami memandang tepat ke mata si isteri dengan kualiti bukaan mata yang redup sekali, intonasi suara pula sederhana, seakan membisik dan berakhir dengan intonasi yang agak kuat sedikit untuk tunjukkan keyakinan. Impaknya, isteri rasa bermotivasi, rasa dilindungi dan rasa ingin teruskan perjuangannya untuk berjaya dalam setiap projek yang dia nak buat.
2.                   CARAGAYA BERCAKAP ROMANTIK AL LAYYINA
Suami jenis  begini bijak menggunakan ayat romantik yang bersifat lemah lembut. Dia tahu fitrah kaum wanita atau isteri “pantang” dilayang dengan suara kasar, bahasa kasar dan bertindak kasar sambil bercakap dengan isteri. Misalnya sambil memegang tangan isteri, si suami bercakap dengan intonasi yang perlahan dan ayat yang halus “Sayang……..OOooooo sayang…….meh la sini kita bincang sama-sama. Abang boringlah selesaikan masalah ni sorang-sorang…”. Dengan caragaya bercakap lemah lembut, pasti si isteri akan datang segera untuk bersama dengan suami tanpa sikap negatif seperti meluat, menyampah, terpaksa dan terseksa batinnya.

3.                   CARAGAYA BERCAKAP ROMANTIK AL SADIDA

Suami jenis begini bijak menggunakan ayat romantik yang menggunakan hujah yang benar.  Para suami mesti bercakap benar dengan isteri masing-masing. Benar lawannya bohong atau bongak atau tipu atau temberang atau dusta. Sekali si suami berbohong, maka akan rosak pula jiwa si isteri. Contoh ayat suami yang menggunakan hujah yang benar ialah “Abang minta maaf lambat balik malam ni. Abang berbincang dengan Datuk Azman di restoren Mamak Ali Maju dari jam 8.45 malam hinggalah 11.30 malam tadi. Maafkan abang ya. Kesian sayang tunggu abang sampai lewat malam ni.” Ingat pula pesan orang tua-tua “Mula-mula menipu, lama-lama mencuri”. Jelasnya, sikap bohong mesti dijauhi. Jika terbuat maka bertaubatlah segera wahai suami di luar sana!

4.                   CARAGAYA BERCAKAP ROMANTIK AL KARIMA

Suami jenis begini bijak menggunakan ayat romantik yang menggunakan perkataan yang memuliakan si isteri. Misalnya kata-kata mulia “Sayang ni baiknya….” Sayangnya wanita pemurah….”  “ Sayang ni bijak mengambil hati orang lain….” “ Sayangnya cantik dan baik bagai bidadari syurga…………”

Allah hu Akbar. Bukan mudah seseorang suami yang hatinya penuh noda, dosa dan dusta untuk mengucapkan kata-kata kemuliaan buat si isteri. Banyak kes di luar sana yang menunjukkan si isteri hidup berduka berendam air mata saban hari akibat kurang atau langsung tidak dihormati, dihargai, disantuni dan jauh sekali dimuliakan oleh suaminya.

Jelasnya, kaum suami dalam kalangan masyarakat kita mesti disedarkan hakikat bahawa fitrah kaum wanita atau isteri amat memerlukan sikap empati, ihsan dan rasa dimuliakan oleh pihak suaminya. Rasionalnya mereka akan dan telah menjalankan amanah suami untuk mengandungkan anak, melahirkan anak dan mengasuh anak hasil perbuatan suaminya tanpa prasangka dan prejudis. Maka dengan kata-kata romantik berupa rasa dirinya dimuliakan oleh pihak suami, mereka akan rasa hidup aman, tenang dan bermotivasi untuk terus berbakti kepada suami dan anak-anaknya.

5.                   CARAGAYA BERCAKAP ROMANTIK AL MAISURA
Suami jenis begini bijak menggunakan ayat romantik yang bersifat mudah di fahami ibarat kata orang Putih “Keep it short and simple”, tidak berserabut, berjela-jela, berbelit-belit dan penuh ayat metafora. Contohnya “ Sayang……..buatkan abang air milo panas boleh…..abang nak minumlah”. Jangan pula bercakap begini “Sayang……………cuaca malam ni begitu sejuk sekali…..ditambah pula dengan deruman angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa diluar sana………..Ni…..kalau kita pekena Milo Kaw Kaw ni sedap ni sayang……….!” Jelasnya, jika pihak suami suka guna ayat metafora  seperti itu, si isteri boleh rasa meluat dan menyampah pun boleh jadi juga. Sebab terserlah sikap suami jenis ibarat suka beretorik, menyusahkan dan tidak berkarisma.

6.                   CARAGAYA BERCAKAP ROMANTIK AL MA’RUFA
Suami jenis begini bijak menggunakan ayat romantik yang bersifat apabila bercakap pasti akan menggunakan perkataan yang baik-baik. Misalnya “Sayang…….kita mesti didik diri kita dan anak-anak kita supaya tidak membazir makanan. Sebab jika kita membazir makanan,  Allah marah nanti. Membazir adalah amalan setan sayang………maafkan abang tau kalau kata-kata abang ni sakitkan hati sayang…..” Insya Allah si isteri akan bercakap begini “Tak……..abang tak salah…….apa yang abang cakap tu memang betul. Terima kasih  ya bang sebab ingatkan sayang………….insya Allah sayang akan sentiasa ingat-ingatkan anak-anak kita agar tidak membazir makanan. “ Realitinya, suami yang romantik di sisi isteri ialah dianya sentiasa bercakap dengan menggunakan perkataan yang baik-baik. Perkataan yang baik bukan sahaja sedap di dengar oleh isteri, malah akan menjadikan si isteri rasa bangga, kagum, hormat dan sentiasa merindui suaminya. Isteri agar sedar betapa dia memiliki suami yang romantik sebab suami yang romantik pasti bercakap baik manakala suami yang tidak romantik pastinya suka bercakap men ggunakan perkataan yang negatif, menyakitkan hati dan merisaukan fikiran orang lain.

KESIMPULAN

Pecah baca pecah gelas sudah baca harap balas. Saya sebenarnya mengharap sidang pembaca MEMBALAS tulisan ini agar mendoakan kebaikan untuk saya sekeluarga. Kemudian sudikanlah diri untuk memanjang manjangkan nukilan saya ini buat santapan minda, intelek, emosi dan rohani rakan sebaya kita yang lain. Tuhan mengingatkan kita agar saling bersatu, bersetia dan berilmu demi kelangsungan hidup kita di dunia dan akhirat dengan iltizam mendapat reda Allah. Buanglah yang keruh ambillah yang jernih nescaya utuh teguh peribadi. Kepada semua suami bangsaku di Malaysia, hargailah isterimu dengan menjadikan dirimu suami romantik yang bukan sahaja handal meromen isteri dari segi zahir, malah yang terlebih penting lagi handal meromen batinnya. Zahir yang hebat sering menipu batin yang sakit. Namun batin yang sihat, akan menyerlahkan sifat romantik yang “kamil” di sisi Allah dengan terzahirnya akhlak suami berupa sifat baligha, sadida, karima, layyina, maysura dan ma’rufa. Haraplah selagi bernafas. Maafkanlah saya.

No comments:

Post a Comment