Monday 23 July 2018

ISTERI PEMARAH SUAMI REBAH



OLEH : DR. AHMAD KAMAL BIN ARIFFIN
PAKAR MOTIVASI DAN KAUNSELING KELUARGA
 

 PENDAHULUAN

Zaman dahulu, orang banyak cerita perihal suami pemarah atau baran atau kaki pukul atau telinga nipis. Orang pemarah ini disebut oleh jumhur ulamak sebagai nafsunya tahap ammarah. Orang jenis nafsu ammarah akan dimasuk neraka oleh Allah jika tak sempat bertaubat tatkala ajalnya tiba. Namun, dewasa kini lain pula keadaannya. Kaum wanita dilihat terperangkap dalam bernafsu ammarah, cepat marah dan pemarah. Ia misalnya dikaitkan dengan kejadian muka suami ditampar, zakar suami dipotong-potong, anak sendiri dipukul tanpa ihsan, bayi sendiri dibuang dan banyak kejadian pembunuhan dilakukan oleh pihak isteri terhadap suami sendiri. Ia bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah juga di luar negara. Berita utama di dada akhbar menyatakan, kesannya ialah suami rebah dalam keadaan ada yang;

1.      Nyawa melayang
2.      Pengsan tidak sedarkan diri
3.      Gila sawan kesan stres kronik

Oleh itu, masalah ini mesti ditangani dengan segera supaya tidak ada lagi kejadian negatif sepertinya berlaku atau sebaliknya.



PUNCA

Pada hemat saya, punca sikap isteri pemarah hingga merebahkan suami dalam pelbagai keadaan menyedihkan seperti di atas adalah kerana;

1.      Masalah iman yang rapuh
2.      Komunikasi tidak berkesan
3.      Tiada penghayatan hidup beragama
4.      Tidak mendirikan amalan solat berjemaah
5.      Tidak membudaya amalan bermusyawarah dalam kalangan seisi keluarga
6.      Tiada sikap sabar dalam hadapi kesulitan mahupun kegagalan dalam mengusahakan sesuatu perkara.
7.      Adanya suami yang lemah nilai kepimpinan dari segi keagamaan, kewangan, kesihatan, kemajuan haluan hidup berkeluarga dan kerjaya

Maka kunci kepada penyelesaian  7 perkara di atas ialah ilmu pengetahuan, yang boleh mengubah sikap si isteri menjadi insan SOLEH, yang ada sifat syukur, optimis, luhur, ehsan dan harmoni jiwa. Ironinya, sebelum melangkah dalam alam pekerjaan dan perkahwinan, setiap orang mesti ada ilmu. Hidup, bekerja dan berkeluarga tanpa ilmu ibarat  kapal yang berlayar tanpa nakhoda. Akhirnya jadi karam sebab tiada haluan dan pedoman. Pedoman untuk kelangsungan pelayarannya. Seterusnya, kita mesti elak sikap berserah pada takdir. Ibarat untung sabut timbul untung batu tenggelam. Sebaliknya, kita mesti bersikap terancang, peduli dan simpati kepada keperluan diri dan orang lain khususnya pasangan kita. Justeru,  selaku isteri, bakal menjadi isteri, bakal suami dan suami diluar sana, sila baca dengan ikhlas tulisan saya ini. Ingatlah, bukan senang menjadi wanita dan isteri solehah, tetapi nak jadi wanita zalim dan derhaka memang mudah. Ia sama macam nak hasilkan sebuah lukisan. Lukisan cantik yang diibarat bagai manusia berakhlak. Lukisan buruk ibarat manusia tidak berakhlak. Maka nak hasilkan lukisan yang cantik, ia memerlukan daya hemah, empati, sensitiviti tinggi, tindakan yang halus dan tabah. Sebaliknya, lukisan buruk sekadar dibuat sambil lewa, cincai dan main cakar-cakar sahaja. Nilai dan maknanya tiada melainkan tidak disukai dan gagal membina emosi orang yang melihatnya.

Mengenainya, pada hemat saya, sikap tidak bertanggungjawab misalnya “sebelum berkahwin memang sudah pergi kursus pra perkahwinan”. Tetapi di sepanjang kursus berlangsung, jasadnya sahaja dalam dewan kuliah namun fikirannya menerawang keluar tanpa belajar dengan tekun intipati kursus berkenaan. Natijahnya, hilanglah berkat dan nilai ilmu dalam jasad dan roh kendiri seseorang itu. Inilah yang diingatkan oleh Nabi Muhammad Saw bahawa ilmu tanpa amal adalah sia-sia.




SIFAT MARAH MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

Berikut dijelaskan beberapa huraian ilmu bertujuan menjelaskan lagi kefahaman para pembaca berhubung soal sikap marah dan kesannya kepada diri sendiri. Sikap marah ada 2 elimen nilai kendiri iaitu pertama marah terpuji dan kedua marah tercela.  Marah yang Terpuji merujuk kepada perlakuan seseorang untuk membela diri, agama, kehormatan, atau menolong orang yang dizalimi. Manakala Marah yang Tercela pula merujuk kepada sifat  marah yang dilakukan atas dasar balas dendam, melepaskan kebencian atau ego diri sendiri. Moralnya, marah yang tidak dilakukan untuk menegakkan kebenaran dan kebaikan dan ia tidak dibenarkan oleh syariat Islam.
Pada suatu hari,  Rasulullah Saw   bertanya kepada para sahabat baginda….. “Siapakah orang yang paling kuat dalam kalangan kamu?” Maka para sahabat memberi berbagai-bagai jawapan tertentu. Lalu dijelaskan oleh baginda Saw, “Bukanlah orang yang kuat itu orang yang banyaknya berperang (selalu menumpaskan orang lain); Sesungguhnya orang yang kuat itu adalah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Peristiwa tersebut menunjukkan betapa pentingnya kita menahan diri daripada  sifat marah. Banyak insiden yang tidak diingini boleh dielakkan sekiranya kita berjaya menahan marah.
Rasulullah Saw    menunjukkan teladan  yang baik ketika sedang marah. Misalnya, dalam satu kejadian, seorang Arab Badwi telah menarik pakaian Rasulullah Saw   sehingga meninggalkan kesan merah pada leher  baginda.  Seterusnya, lelaki Arab tersebut menuntut agar Rasulullah Saw    memberikan wang kepadanya. Respon baginda ketika itu ialah  hanya tersenyum dan mengarahkan seorang sahabat menunaikan permintaan lelaki tersebut.
Berdasarkan kejadian tersebut, pengajarannya ialah Rasulullah Saw   menunjukkan beberapa panduan kepada kita bagaimana menguruskan sifat marah. Rasulullah Saw  sentiasa menasihati para sahabat agar berwaspada dengan sifat marah.
Seorang sahabat bernama Abu Hurairah r.a. telah meminta Nabi Muhammad Saw menasihatinya. Lalu Rasulullah Saw  bersabda; “Jangan marah”. Ingatan dan pernyataan ini diulang-ulangi  oleh baginda Saw beberapa kali. (Hadis Riwayat al-Bukhari, Malik dan Tirmizi).
Begitulah  juga dengan seorang lagi sahabat yang bernama Abdullah bin Amru. Beliau bertanya baginda Saw tentang sesuatu yang boleh menyelamatkan dirinya daripada kemurkaan Allah. Baginda Saw  menjawab perkara yang sama iaitu, “Jangan Marah”.
Dalam suatu kejadian lain lagi, seorang sahabat meminta nasihat daripada Rasulullah Saw, lalu Baginda bersabda, “Janganlah kamu marah.” Sahabat lain pula bertanya, “Apakah yang dapat menyelamatkan daku daripada kemurkaan Allah?” Maka jawab Rasulullah Saw; “Jangan tunjukkan kemarahan kamu.” Sahabat yang lain pula meminta satu amalan kebaikan yang mudah untuk dilakukan, maka sabda Rasulullah Saw  , “Janganlah marah!”
Seterusnya, dari Sulaiman bin Surad r.a., katanya: “Saya duduk bersama Rasulullah Saw   dan terdapat dua orang yang saling bermaki-makian antara satu sama lain. Salah seorang dari keduanya itu telah merah padam mukanya dan membesar tegang urat lehernya. Melihat keadaan  itu, Rasulullah Saw   bersabda: “Sesungguhnya aku mengetahui suatu ucapan yang apabila diucapkannya, tentulah hilang apa yang ditemuinya (iaitu kemarahannya), iaitu andai kata dia mengucapkan: “A’udzu billahi minasy syaithon,” tentulah lenyap apa yang ditemuinya itu  (kemarahan).”

Menjelaskan lagi isu ini, berdasarkan Ilmu Sahsiah Islam, marah ada beberapa jenis iaitu;

1. Wajib
Iaitu misalnya kita memang sedang terlihat sesuatu perbuatan maksiat berlaku di depan kita. Mengenainya, Nabi Muhammad Saw telah bersabda yang artinya;
Apabila kalian melihat sesuatu kemungkaran maka ubahlah dengan tangan/kekuasaanya, apabila tidak mampu, maka ubahlah dengan ucapan/lisan (nasihat), apabila tidak mampu, maka ubahlah dengan hati. Dan yang terakhir, inilah wujud serendah-rendahnya iman. (Hadis Riwayat Muslim).
2. Sunnah 
Ia adalah berkaitan saranan Nabi Muhammad Saw bertujuan untuk kebaikan ummah. Misalnya Nabi Muhammad Saw marah kepada sahabat yang memanjangkan bacaan surah pada saat sembahyang berjemaah. Adapun kemarahan Rasullullah tersebut bukan dalam hal yang maksiat, kerana tujuannya ialah jika seorang imam dalam sembahyang memanjangkan bacaan surahnya tapi tidak disukai oleh makmumnya maka akan menjadi berdosa (bacaan panjang tersebut).
3. Mubah
Mubah hukumnya boleh juga dilakukan. Misalnya ialah pernah terjadi kepada Saidina Abu Bakar  ketika beliau marah kepada anaknya kerana kebetulan tetamu yang datang ke rumah belum diberikan makanan  walhal tetamu tersebut sengaja menunggu Saidina Abu Bakar datang dahulu kemudian baharulah makan bersama mereka. Kerana takut dimarahi ayahnya, anak Saidina Abu Bakar iaitu Abdul Rahman ketika itu bersembunyi kerana takut dimarahi ayahnya.
4. Makruh
Iaitu  misalnya perbuatan yang apabila kita lakukan tidak berdosa, namun jika ditinggalkan akan mendapat pahala. Contohnya; ketika Sa’ad bertanya pada Rasulullah perihal seumpama ada lelaki yang berzina dengan isterinya, maka ia akan membunuh lelaki itu sebelum mendatangkan empat orang saksi. Marahnya Sa’ad ini adalah makruh kerana ucapannya hanyalah baharu peringkat persepsi emosi semata-mata.
5. Haram
Adalah kemarahan yang disertai dengan caci maki, hinaan, dan kata-kata yang keji. Misalnya tindakan seorang isteri yang terlalu marah kepada suaminya hingga mengeluarkan kata-kata nista, hinaan dan makian terhadapnya. Ia adalah perbuatan berdosa dan haram hukumnya.

Berdasarkan maklumat diatas, jelas sekali betapa sikap marah boleh dilakukan oleh kalangan isteri atas alasan yang wajar misalnya untuk mempertahan agama, nyawa, maruah dan harta sendiri. Sebaliknya ia jadi berdosa jika dilakukan semata-mata untuk ikutkan nafsu, menunjuk kekuatan dan ego sendiri.



MENURUT ILMU KESIHATAN

Menurut ilmu kesihatan pula mendapati bahawa Sifat Marah (pemarah, panas baran dan mudah marah) boleh menyebabkan seseorang itu mengalami gejala penyakit berikut;


Hipertensi

Hipertensi disebut juga dengan darah tinggi, darah tinggi sering terjadi kerana kemarahan tahap tinggi. Hipertensi jika tidak dirawat  boleh menyebabkan sakit stroke, serangan jantung dan kegagalan buah pinggang berfungsi dengan normal.

Tubuh lemah

Sikap pemarah juga boleh menyebabkan otot  badan menjadi tegang dan menimbulkan kelelahan tubuh. Marah seminit  bersamaan dengan nilai 4 jam bekerja. Akibat dari sikap pemarah, kelelahan pernafasan  boleh berlaku pada diri. Ia akan menyebabkan kadar metabolisme tubuh menurun. Apabila kadar metabolisme menurun, maka penyakit dari luar akan mudah memasuki tubuh kita sebab daya ketahanan anti penyakit kita menjadi lemah.

Lemah Otak

Sikap pemarah juga boleh  melemahkan otak yang menyebabkan fungsi otak akan menurun secara drastik. Sebabnya ialah ketika kita marah, darah dalam otak akan berkurang. Darah lebih banyak mengalir kepada otot-otot besar, sehingga darah sebagai suatu yang penting dalam otak akan berkurang. Kesannya ialah seseorang itu akan mudah hilang kawalan emosi dan pertimbangan peribadi juga akan lemah. Ia sangat membahayakan bukan sahaja kepada keselamatan diri sendiri malah orang lain. Banyak kes membunuh, merosak harta benda awam dan menganiayai orang lain kesan daripada keadaan seperti ini.

Masalah Pencernaan
Seseorang yang pemarah juga mudah mengidap penyakit sukar buang air besar, sakit dalam perut dan ia tidak baik untuk kesihatan perut dan sistem percernaan makanan tubuh badan. Kesannya ialah boleh menyebabkan seseorang itu menjadi lemah tubuh badan dan memberi kesan kepada produktiviti seseorang.
Susah Tidur
Susah tidur juga merupakan kesan utama yang akan dialami oleh orang yang pemarah. Ia berpunca apabila sikap marah tersebut akan menjadikan susunan hormon manusia menjadi lemah dan tidak normal.
Mudah Cemas
Orang yang pemarah atau mudah marah akan mengalami sikap negatif mudah cemas. Mudah cemas ataupun kelam kabut adalah salah satu kesan negatif  yang dengan mudah akan dialami oleh orang yang pemarah. Ia berlaku kerana dalam diri seorang pemarah itu telah berlaku peningkatan pada hormon kortisolnya.
Serangan Jantung
Seorang yang pemarah akan senang mendapat penyakit jantung atau serangan jantung. Ia disebabkan kegagalan darah dan oksigen mengalir dalam urat saraf dengan normal natijah daripada tekanan yang dialami oleh organ dalaman manusia yang pemarah.
Sakit Kepala
Orang yang pemarah akan mudah mengalami sakit-sakit pada kepalanya. Ia juga berpunca daripada urat otak yang gagal berfungsi dengan normal akibat tekanan urat saraf semasa seseorang itu marah dan selalu marah hingga seharian atau berhari-hari.

Depresi
Orang yang pemarah juga akan cenderung mengalami depresi, terutama depresi dalam jangka panjang dalam hidupnya. Orang yang alami depresi mempunyai ciri misalnya suka menyendiri, kurang selera makan, cepat melenting, emosinya tidak konsisten dan kurang daya penumpuan semasa bercakap dengan orang lain. Jika ini berlaku, seseorang itu akan kelihatan lemah dari aspek imej kendiri dan merencatkan objektif konsultasinya dengan orang lain.


 KESAN KEMARAHAN DAN LANGKAH PEMULIHAN

Taubat dan bertaubat adalah tindakan yang pertama bagi mengatasi masalah sikap pemarah ini. Khususnya kepada para isteri di luar sana, cuba tanya dan fikir mendalam, apa baiknya sikap pemarah, mudah marah dan ketagih dengan nafsu ammarah tersebut? Apakah kesan sikap marah atau nafsu ammarah kepada kehidupan kita? Pada hemat saya, sikap isteri yang pemarah menjadikan dirinya;

1.      Berdosa
2.      Imej buruk
3.      Dibenci orang
4.      Tidak dipercayai
5.      Hidup tidak berkat


Seseorang yang mengalami masalah sikap cepat marah atau panas baran juga boleh berubah menjadi seorang yang sabar, tenang dan reda dengan mengikuti kursus-kursus pemantapan kendiri yang banyak diadakan sama ada di masjid, pusat motivasi, pusat kaunseling dan juga universiti awam dan swasta. Malah kini kita boleh dapat ilmu pengurusan marah dengan lebih mudah dengan adanya youtube dalam internet. Kita juga boleh mengurus kemarahan diri dan sensitiviti diri kita dengan membaca pelbagai buku-buku motivasi diri dan pembangunan iman dan amal yang banyak kedapatan di perpustakaan awam mahupun boleh membelinya di kedai-kedai buku yang berdekatan.

Banyakkan bergaul dengan orang-orang yang soleh, berperibadi mulia dan pendengar yang baik juga akan membantu memantapkan konsep kendiri seseorang itu menjadi isteri yang sabar, tenang dan ehsan.

Selain daripada perkara di atas, seseorang isteri yang ingin berubah agar tidak bersikap pemarah juga boleh berjumpa dengan para kaunselor bertauliah yang ada di semua sekolah rendah dan menengah mahupun di klinik kesihatan keluarga untuk mendapat nasihat dan bimbingan. Banyak teknik mengurus kemarahan yang boleh dipelajari daripada para kaunselor misalnya;

  1. Teknik menarik nafas
  2. Teknik membina bayangan
  3. Teknik menekan jari tangan
  4. Teknik menahan emosi sabar
  5. Teknik melupakan rasa kemarahan


KESIMPULAN

Nabi Muhammad Saw tidak pernah menunjukkan kemarahan baginda terhadap golongan kafir Quraisy yang sentiasa bertindak di luar batasan terhadap kaum Muslimin yang hidup di zamannya. Bahkan, baginda Saw sentiasa bercakap dengan lemah lembut dan penuh hikmah. Nabi Muhammad Saw akan memberi respon positif, tenang dan sabar dalam berhadapan apa sahaja perbuatan buruk oleh orang yang memusuhi baginda kerana kesedaran sikap marah tidak menguntungkan diri baginda sama ada dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Oleh itu, semua kaum wanita yang menjadi isteri amnya dan masih belum berumahtangga khususnya mesti berlatih dan berwaspada dari semasa ke semasa untuk memiliki sikap yang mulia, tenang, sabar dan tidak pemarah. Meskipun ada ruang untuk kita marah demi untuk agama dan maruah, namun selain daripada itu, sikap sabar dan tenang lebih menguntungkan diri dari segi imej, kesihatan jiwa dan kesihatan hubungan suami isteri.

No comments:

Post a Comment