Thursday 19 July 2018

KHABAR INGATAN BUAT DIRI INI



 DI USAHAKAN OLEH :
DR. AHMAD KAMAL BIN ARIFFIN


TUAN TUAN YANG MULIA

Tulisan ini adalah untuk kebaikan kita. Satu pahala buat saya, satu pahala buat Tuan yang membaca. Sebab Allah janjikan pahala buat kita semua, meskipun dengan membaca satu patah perkataan yang mulia.
 Allah (SWT) telah menciptakan kita dari tiada. Allah Taala….. telah memberi kita bentuk dan mencorak kita menjadi satu ciptaan yang sedemikian sempurna. Allah maha mengetahui apa yang telah DiciptakanNya, dan Allah maha mengetahui bagaimana harus kita menjalani hidup ini. Bahawa Allah telah menciptakan kita dari anak-anak Adam (AS) dan bukan dari monyet, keldai, atau dari kalangan binatang. Dengan mudah Allah boleh mengubah segalanya. Mereka yang tidak berpuas hati bahawa Allah telah menciptakan mereka dan memberi mereka gelaran tertinggi sebagai manusia dan mengutuskan kita ke dunia, menjadikan kita sebagai wakilNya di dunia ini, dan jika kita tidak memikul tanggungjawab ini, maka nantikanlah. Sesuatu yang amat berbahaya sedang mendatangi kita. Rupa bentuk kita adalah manusia. Kerohanian kita harus bersifat kemanusiaan. Tindakan kita harus bersifat kemanusiaan. Semuanya harus berkemanusiaan. Dari mana kita belajar semua ini? Kita perlu mengambil contoh Nabi (AS). 

Gaya hidup yang Allah ajar kepada Nabi (AS) dan pewarisnya bukanlah sesuatu yang bermaksud untuk menimbulkan kesulitan, atau membebankan hidup kita. Ia adalah satu-satunya gaya hidup yang akan membawa kedamaian dan kepuasan di hati kita. Kedamaian dan kepuasan adalah dua perkara yang tidak dapat dimiliki oleh manusia abad ke 21kini. Gamaknya kini. perasaan damai di jiwa tidak wujud dalam roh manusia. Mereka mencari di mana-mana tetapi tidak dapat menemukannya. Mereka tidak dapat menemukannya di rumah, di pasar raya, di tempat kerja, di disko atau dangdut, di Pavillion, di KLCC, di Cyberjaya, di Nilai 3, meskipun di langit, di bumi atau di lautan sana. 

Lalu banyaklah pakar psikologi dan perubatan moden mencari formula demi kantung fikir, intelek dan poket mereka. Maka dikaitkan bahawa kita kini telah memasuki ke dalam satu era, iaitu era perubatan “anti kemurungan”.  Era di mana manusia telah menjadi begitu tertekan dan resah gelisah sehingga semua orang kini perlu mengambil ubat-ubatan moden agar mereka dapat berfungsi hidup maju di dunia fana ini. Tetapi jika dilihat secara keseluruhan, dapat kita saksikan bahawa apa yang dimiliki manusia pada zaman ini, segala bentuk kesenangan dan kemewahan yang dirasai, adalah sesuatu yang belum pernah dilihat jua dialami oleh manusia sebelum ini di sepanjang tujuh ribu tahun peradaban manusia. Semua orang kini hidup dalam gaya hidup serba mewah yang bahkan tidak pernah dimiliki Firaun dan Namrud sekalipun. Ia disebut gojes, fantastik, eligen, fesyen hebat, wow factor, punk, hippies dan seumpama lagi. Gojes di mata manusia leka goblok di mata anbiak.
Ironinya, para Nabi (AS) dan para pengikutnya tidak memerlukan ubat-ubatan untuk menikmati kedamaian dan kepuasan. Jangankan dikatakan penyakit mental, mereka sendiri malah tidak pernah mengalami penyakit fizikal. Lalu timbul persoalan………Mengapa? Apakah rahsianya?
Begini Tuan Tuan yang mulia.

Sewaktu Nabi (AS) mengutus Nama-i Sharif,  undangan kepada raja-raja, beliau turut mengirimkan satu utusan ke Mesir, undangan kepada raja Qubtis (Koptik). Raja itu menerimanya dengan penuh penghormatan. Beliau menciumnya, menjunjunginya, dan sebagai tanda penghargaan beliau membalas dengan mengirimkan hadiah kepada Nabi (AS). Beliau memberikan hadiah  berupa hamba-hamba suruhan, dan beberapa pemberian yang lain. Beliau turut mengirimkan beberapa orang doktor (tabib) untuk berkhidmat kepada Baginda Nabi (AS). 

Lalu, melihatkan pemberian-pemberian dari Raja Qubtis itu, Rasulullah  Saw berkata, ‘Orang-orang yang dikirimkan ini, boleh kami terima dan menggunakannya, tetapi doktor, kami tidak memerlukannya.’ Mendengarkan ini, seorang dari para Doktor pun berkata, ‘Raja kami telah membayar kami untuk tugas ini, agar kami berada di sini, bersama mu, untuk mengawasi keadaan kesihatan pengikut-pengikutmu. jika terdapat sesiapa yang jatuh sakit, maka dengan percumanya kami akan merawat mereka.”  Maka dijawab oleh Nabi  Saw  “Baiklah jika itu yang kalian mahu, kalian semua boleh tinggal di sini bersama kami.” Dan doktor-doktor itu pun tinggal di situ bersama Nabi dan pengikutnya. Hari berganti bulan. Bulan berganti tahun. Waktu demi waktu berlalu. Namun tiada apa pun yang berlaku.

Satu hari, ketua doktor datang menghadap Nabi (SAW) dan bertanya, “Ya Muhammad (SAW), kami bukanlah musuhmu. Kami tidak mempunyai sebarang niat jahat terhadapmu dan pengikut-pengikutmu.”

Dan Rasulullah (SAW) menjawab, “Kami tahu itu.”
Doktor berkata, “Tetapi orang-orang kamu tidak datang kepada kami. Mereka tidak datang kepada kami untuk mendapatkan rawatan.”
Baginda (SAW) berkata  “Mereka tidak datang kepada kamu kerana mereka tidak sakit. Mereka tidak perlu pada sebarang rawatan.”
Doktor yang kehairanan pun berkata, “Bagaimana mungkin? Kami malah tidak mempunyai waktu untuk menggaru kepala kami di negeri sendiri. Rakyat sentiasa jatuh sakit. Di sini, di padang pasir ini,mereka tidak jatuh sakit?”
Lantas Nabi (SAW) menjawab dengan  suara lembut, “Mereka tidak jatuh sakit kerana mereka mentaati Nabi mereka (SAW). Mereka hidup mematuhi ajaran Nabi mereka. Maka mereka tidak jatuh sakit.”

Konklusinya, ketaatan kepada Allah dan Nabi-Nya adalah kunci kebahagiaan, kesihatan dan kepuasan. Kerana kita, Bani Adam telah diciptakan oleh Allah dan Allah telah mencipta bahagian yang paling penting dalam tubuh badan manusia, iaitu hati, dengan ciri-ciri khas yang tertentu. Dan satu-satunya cara hati akan memperoleh kepuasan, dapat menemui ketenangan, dapat beristirehat, nikmati kebahagiaan adalah dengan berada dalam penyerahan dan ketaatan kepada Allah, untuk mengingati Pencipta kita dan Penguasa kita semua – wahai anak Adam. Itulah sebabnya Allah (SWT) berfirman, BismillahirRahmanirRahim. Ala bi dhikrillahi tat’mainnal quloob – hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.” Sadaqallahuladzim.

MAAFKANLAH SAYA.

AKHIKUM FILLAH.

No comments:

Post a Comment