Tuesday 4 July 2017

DILEMA PERSONALITI BERMASALAH, MEKANISME IKTIBAR MEMBINA KELUARGA BAHAGIA


OLEH :
Dr. Ahmad Kamal bin Ariffin.
Pusat Asuhan Pertiwi
Kuala Pilah.



PENDAHULUAN

Setiap insan ada masalah. Tanpa masalah, manusia hidup sunyi dan hilang semangat perjuangan dalam hidupnya. Masalah umumnya boleh berlaku di mana sahaja selagi adanya manusia. Ia boleh berlaku dan bermula di rumah, di pejabat, di sekolah, di universiti, di kilang dan seumpamanya. Seorang ahli falsafah barat bernama Victor Hugo (1885) berkata “Milikilah keberanian untuk menghadapi pelbagai masalah dalam hidup dan bersabarlah untuk masalah yang kecil. Saat kamu selesai melakukan tugasmu hari ini, maka tidurlah dengan tenang”. Jelasnya, masalah perlu diatasi dengan keberanian, keimanan dan ketulusan hati untuk mengatasinya. Tanpa 3 perkara tersebut, manusia boleh mengalami keadaan murung, hilang keyakinan diri dan fokus matlamat hidup menjadi kabur hingga boleh menghilangkan sirna kejayaan seseorang. 

TRAIT PERSONALITI BERMASALAH

Setiap orang yang peka, mesti beriltizam untuk memiliki kehidupan berumahtangga yang makmur, maju dan berjaya. Punca utama kemenjadian kejayaan sesebuah institusi keluarga ialah sikap. Justeru, trait-trait personaliti kendiri yang bermasalah mestilah difahami oleh kalangan suami dan isteri agar mereka boleh mengawasi diri masing-masing daripada terjebak ke lembah amalan caragaya hidup yang negatif, penuh ammarah dan mundur. Diantara trait-trait personaliti kendiri yang mengundang masalah dalam hubungan suami isteri adalah seperti berikut;

1. Bersikap Terburu-Buru Tanpa Berfikir Dahulu Secara Mendalam.

Ada kalangan suami atau isteri yang bersikap terburu-buru mahukan hasil kejayaan yang cepat tanpa berfikir panjang mengenai baik dan buruk sesuatu tindakan. Misalnya terburu-buru beli dan makan ubat atau pil penguat tenaga batin, beli dan makan jamu kononnya boleh menjana kecantikan kulit wajah, namun kesannya adalah negatif. Ia adalah akibat sikap membeli sebelum menyelidik, mendalami dan mengetahui sejauhmana ia berkualiti dan selamat untuk digunakan. Juga sejauhmana ia menepati standard Kementerian Kesihatan dan juga patuh syariat. Umumnya, suami atau isteri jenis suka bertindak cepat tanpa berfikir panjang adalah lemah dari segi kesabaran dan pengawalan diri. Berhubung perkara ini, junjungan Nabi Muhammad Saw telah bersabda maksudnya; “Sikap bertenang itu dari Allah dan sikap terburu-buru itu dari syaitan” . (Hadis Riwayat Al Baihaqi.)

2. Tidak Miliki Matlamat Yang Jelas.

Ada pepatah Inggeris menyatakan bahawa “Clear vision clear results”. Suami atau isteri yang mempunyai kecenderungan bagi memikirkan atau menyatakan tentang sesuatu tanpa berusaha mencari dan mengumpul maklumat yang tepat dan lengkap, mudah terdedah kepada kehidupan berkeluarga yang membosankan natijah daripada tidak memiliki matlamat hidup berkeluarga yang jelas. Tanpa matlamat hidup berkeluarga yang jelas, suasana hidup berkeluarga akan kurang bermotivasi dan cenderung bersikap nafsi-nafsi (individualistik).

3. Terlalu Mementingkan Diri Sendiri

Ada kata-kata hikmat orang Inggeris menyatakan seperti berikut;
“Selfish people lose so much in life because even when they realize they are wrong, they don’t know how to ask for forgiveness or show regrets”. Apabila manusia mementingkan cita-cita peribadi, keperluan atau haknya sahaja, maka wujudlah jurang atau konflik di antara dia dan orang lain. Manusia sudah tidak menghormati dan mengiktiraf hak dan ruang orang lain. Jika dalam rumahtangga, ada suami atau isteri yang bersikap mementing diri sendiri, misalnya dari segi kewangan, makanan, kenderaan atau pakaian. Ia akan timbul krisis kepimpinan dan kewibawaan kepada tuan yang empunya diri.


4. Terlalu Melihat Keluar.

Mahatma Ghandi (1963) ada menyatakan bahawa “Masa depan tergantung pada apa yang kita lakukan hari ini”. Berhubung dengan perkara diatas, jika seseorang suami atau isteri terlau melihat keluar misalnya membanding potensi diri anak-anak sendiri berbanding dengan anak-anak orang lain diluar sana yang dikatakan lebih hebat, cemerlang, kuat dan terkenal, tanpa berfikir secara adil dan rasional, maka akan menimbulkan isu anak hilang keyakinan diri, rumahtangga tidak bahagia dan si ibu bapa yang bersikap sebegitu akhirnya akan rugi dari segi membina efikasi diri anak dan juga konsep kendiri anak. Jelasnya, berkemungkinan ibubapa yang selalu melihat keluar adalah mereka yang sukar memfokuskan perhatiannya ke dalam dirinya sendiri. Seandainya ini berlaku, maka jadilah ia tidak orang yang membingungkan, menekan dan punca kepada tekanan emosi kepada anak-anak mahupun pasangan masing-masing.

5. Tidak Tahu Membuat Pilihan Yang Tepat.

Membuat pilihan adalah berhubung mengenai membuat keputusan. Kesukaran membuat pilihan atau keputusan adalah berpunca daripada kurang maklumat, kurang ilmu dan juga kurang pengalaman. Walhal, setiap cita-cita dan masalah mesti ditangani bermula dengan satu keputusan. Ia ibarat orang Inggeris kata sebagai “Nothing happens until you decide. Make a decision and watch your life move forward”. Jika tak tahu, tak berani dan bertangguh buat sesuatu keputusan, maka hiduplah pasangan suami isteri itu dalam keadaan merugi. Mengenainya, terdapat kalangan suami atau isteri yang hidupnya bergantung dengan orang lain bagi membuat sesuatu keputusan. Misalnya soal memilih pakaian, makanan, barang keperluan rumah dan seumpamanya. Sikap kelemahan imej diri sebegini boleh mengakibatkan hidup banyak kerugian masa sedangkan pepatah Arab ada menyatakan “Masa adalah ibarat mata pedang, kamu tak potong dia, dia akan potong kamu”. 

6. Menyalahkan Orang Lain, Persekitaran Atau Takdir.

Dalam ilmu psikologi, dijelaskan bahawa orang yang suka salahkan orang lain atau sebagainya lantaran kegagalannya dalam sesuatu perkara atau tugasan disebut mekanisme bela diri secara “Penafian”. Jelasnya, berkemungkinan suami atau isteri yang suka menyalahkan faktor lain selain dirinya sukar memperbetulkan kelemahannya. Boleh jadi dia akan menganggap dirinya sempurna. Natijahnya, jika ada pasangan suami atau isteri yang bersikap sebegini, ia akan menyebabkan dirinya kelihatan tidak bertanggungjawab, tidak matang, membosankan, tidak berwibawa, penakut dan tidak cerdik. Sebab itu alim ulamak ada menyatakan “Kematangan tidak datang dengan bertambahnya usia. Kematangan bermula dengan sikap menerima tanggungjawab dan bertanggungjawab.”

7. Tidak Memiliki Sebarang Nilai Dan Matlamat.

Hidup suami atau isteri menjadi tidak konsisten atau terumbang ambing kerana tidak ada matlamat hidup. Apabila seseorang miliki matlamat hidup, maka ia secara tidak langsung akan menerbitkan nilai-nilai kendiri yang terpuji misalnya menghargai masa, suka bekerja, sabar, berkarisma dan ada arah tujuan. Kalau dalam kerajaan, dimotivasikan para kakitangan kerajaan itu dengan nilai-nilai murni yang digazetkan dalam Tonggak 12 kakitangan awam. Hakikatnya, untuk mengemudi rumahtangga bahagia dan cemerlang, setiap pasangan suami isteri mesti miliki matlamat kendiri. Perkara ini semakna dengan mesej kata bidalan Inggeris yang popular iaitu “A man without a vision is a man without a future. A man without a future will always return to his past”.

8. Memiliki Nilai Atau Matlamat Yang Sentiasa Berubah-Ubah.

Manusia yang sentiasa mengubah-ubah nilai dan matlamatnya tidak tahu apa sebenarnya yang dikehendakinya. Manusia begini tidak ada destinasi yang hendak ditujunya. Pandangan hidupnya kabur, mudah bosan dan sering mengalami krisis dalam keluarga. Hatinya tidak istiqamah terhadap sesuatu visi dan misi kendiri yang diubah-ubah dengan sengaja disebabkan oleh kurangnya disiplin diri, ketirisan ilmu pengetahuan berhubung tugasan atau impian yang dicitakan dan akhirnya hiduplah mereka ibarat hidup segan mati tak mahu. Seterusnya, orang yang punyai sikap bermatlamat yang sentiasa berubah-ubah akan kelihatan jiwanya kacau. Kita boleh lihat pada ekspresi wajah yang sentiasa berkerut, tidak ceria, risau dan suram.

9. Memiliki Nilai Dan Matlamat Yang Rigid.

Berkemungkinan manusia yang memiliki nilai dan matlamat yang rigid, sukar menyesuaikan diri dengan orang lain atau persekitarannya. Manusia seperti ini sukar menerima perbezaan nilai yang ditunjukkan oleh orang lain. Terdapat kata-kata hikmat Xun Zi mengenai rigid ini iaitu “The rigid cause themselves to be broken; the pliable cause themselves to be bound.” Di dalam berumahtangga, pasangan yang bersikap rigid memiliki ciri-ciri terlalu “idealist” dan “perfectionist”. Di dalam rumah, dia akan mudah marah hingga ada yang sampai mengamuk hanya semata-mata bantal di atas katil tidak disusun dengan baik, pinggan mangkuk di dalam raknya tidak disusun ikut saiz, susunan kasut di tempat kasut tidak disusun dengan cantik, pemilihan warna langsir yang tidak menepati seleranya dan seumpamanya lagi. Sikap yang terlalu rigid dan ingin segalanya sempurna menjadikan seseorang itu sukar untuk dilayani, digauli dan dijadikan pasangan hidup yang menghiburkan, mendamaikan dan sentiasa diperlukan oleh pasangan masing-masing walau dimana dia berada. 

10. Memiliki Nilai Dan Matlamat Yang Negatif Atau Tidak Sesuai.

Banyak orang yang baru berkahwin terkejut selepas 7 hari tinggal sebumbung dengan pasangan masing-masing. Mereka terkejut berhubung dengan pegangan nilai dan matlamat kendiri yang negatif pada pasangan masing-masing. Misalnya ada pasangan yang berpegang kepada nilai suka kepada keadaan tandas yang kotor, bilik tidur berwarna gelap, meninggalkan najis dalam jamban, bercita-cita hendak jadi samseng, suka berdebat, suka cari gaduh dengan jiran, suka bercakap besar, tak suka mendengar pandangan orang lain dan seumpamanya lagi. Nilai dan matlamat yang negatif mempengaruhi hidup manusia. Ada kalanya, manusia kurang peka atau kurang sensitif terhadap faktor yang menghasilkan masalahnya. Personaliti seseorang yang memiliki nilai dan matlamat yang negatif inilah menjadi punca adanya pasangan yang bercerai setelah baru sahaja sebulan atau setahun atau sepuluh tahun berkahwin. Ia bergantung kepada sejauhmana tahap kesabaran dan daya tindak balas pasangan masing-masing untuk membina dan menyelamatkan perkahwinan yang telah dibina. Berhubung perkara ini, barangkali kita ambil pengajaran kisah Abu Hurairah R.A mengkhabarkan bahawa suatu hari Rasullullah SAW ditanya oleh sahabat baginda mengenai kriteria orang yang akan masuk menjadi ahli syurga. Maka baginda Nabi Muhammad SAW menjawab maksudnya “Mereka bertakwa kepada Allah dan akhlak yang mulia”. (Hadis Riwayat Tirmizi). 

11. Tidak Tahu Membentuk Perhubungan Yang Berkualiti.

Perhubungan manusia bertitik tolak daripada aspek komunikasi berkesan. Komunikasi berkesan bertitik tolak daripada sahsiah seseorang. Sahsiah pula adalah gambaran hati nurani seseorang. Adapun nasib seseorang tidak sama dalam bab jodoh, kerjaya dan rezeki. Namun, setiap kelemahan sikap seseorang pasangan boleh diubah dengan melalui proses pendidikan, pengaruh teladan, persekitaran dan niat sendiri untuk berubah jadi lebih baik. Terdapat 3 faktor penjana yang menjadi kunci perhubungan suami isteri yang berkualiti iaitu akhlak terpuji, persekitaran yang teraputik dan kemudahan hidup yang baik. Menjelaskan lagi, bahawa Nabi Muhammad SAW telah bersabda maksudnya “Diantara sumber kebahagiaan anak Adam itu ialah tiga perkara, manakala diantara punca kecelakaan anak Adam itu juga tiga perkara. Tiga sumber kebahagiaan mereka adalah isteri yang solehah, tempat tinggal yang baik dan kenderaan yang baik. Manakala punca kesengsaraan mereka pula ialah isteri yang jahat, tempat tinggal yang buruk dan kenderaan yang tidak menyenangkan”. (Hadis Riwayat Muslim)

12. Tingkahlaku Sendiri Yang Menimbulkan Masalah.

Banyak masalah dalam keluarga berpunca daripada sikap pasangan masing-masing yang suka buruk sangka, suka lempar salah dan tidak sabar dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi dalam proses membina keluarga bahagia. Misalnya sikap isteri yang suka berburuk sangka suami balik lewat dari kerja, suka memeriksa telefon bimbit suami sedangkan suami dah tegur elakkan berburuk sangka, kerana sikap berburuk sangka adalah sebohong-bohong cakap (Rujuk al Quran, Surah Al Hujurat : Ayat 12). Seterusnya, diantara tingkahlaku yang menimbulkan masalah di dalam rumahtangga ialah sikap suka membazir, pengotor, malas menolong membuat kerja rumah, terlalu kuat membebel dan suka memandang rendah kemampuan pasangan masing-masing sama ada dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Bolehlah kita ambil pedoman daripada ibarat kata seorang motivator Indonesia Mario Teguh “Jangan menghakimi orang lain, sebelum anda mengerti derita hatinya”.

13. Sukar Menerima Kelemahan Sendiri.

Kita boleh tahu akan kelemahan diri sendiri . Sikap menerima kritikan orang lain adalah petanda sikap menerima kelemahan sendiri. Malah, sikap mudah menerima teguran para sahabat mengenai kelemahan diri sendiri menurut Nabi Muhammad SAW adalah petanda seseorang itu baik hati. Sikap suami atau isteri yang tidak mahu terima kekurangan dan kelemahan diri menyebabkan dia sukar berubah menjadi lebih baik dari semasa ke semasa. Misalnya jika isteri ditegur kerana suka membazir duit, sebaliknya tidak diendahkan oleh isteri akan menyebabkan suami bosan dan marah. Ia tidak mustahil menimbulkan krisis komunikasi diantara mereka. Perkara ini selari dengan kata-kata Jean Vanier (1928), seorang ahli falsafah ulung Canada) bahawa “Growth begins when we begin to accept our own weakness”.

14. Tidak Kreatif Bagi Menimbulkan Kejelekitan Dalam Hubungan Suami Isteri.

.
Setiap pasangan suami atau isteri harus kreatif bagi mengukuh ikatan kasih sayang demi membina institusi keluarga bahagia. Misalnya memberi hadiah istimewa yang tidak disangka berupa cermin mata hitam, jam jangan atau buku yang diminati oleh pasangan masing-masing. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Menurut Sir Ken Robinson (1998) bahawa “creativity is now as important in education as literacy”.


15. Suka Mengungkit-Ungkit Kisah Lama Yang Menyakitkan Hati.

Kata hikmat orang Inggeris menyatakan “Don’t bring up the past of a person who is trying to improve their future”. Jelasnya, apabila seseorang suami atau isteri itu sudah berubah menjadi lebih baik, maka jangan diungkit perangai silamnya yang buruk itu. Sebabnya ialah kita tidak pernah tahu sejauhmana susahnya dia hendak mengubah sikap buruknya yang lalu dan juga melupakan kisah buruknya yang lalu. Sikap kalangan suami atau isteri yang suka mengungkit kesilapan lalu yang pernah dilakukan oleh pasangannya akan menyebabkan pasangan yang berkenaan menjadi rendah diri, hilang kepercayaan pada diri sendiri, kecewa dan berdendam akibat sakit hati yang bersangatan. Ia pernah berlaku dan boleh terjadi dalam kalangan sesiapa sahaja diluar sana. Sebagai manusia yang normal, kita mesti ingat bahawa tidak ada manusia yang suka dirinya diungkit akan perangai silamnya yang negatif. Malah, kita juga mesti ingat setiap manusia tidak dapat lari daripada salah dan silap lantaran hakikatnya mereka tidak maksum. Yang bebas daripada noda dan dosa ialah Nabi Muhammad SAW sahaja.

KESIMPULAN

15 trait personaliti diatas adalah merupakan perkara sangat penting yang mesti dielak oleh setiap pasangan suami atau isteri demi pengwujudan institusi keluarga dan pasangan suami isteri yang bahagia, bersatu dan saling menghargai. Ia juga demi mengukuhkan ikatan kasih sayang dan mencegah krisis komunikasi dan tekanan emosi dalam kalangan pasangan berumahtangga. Senang untuk bermadah kata impian klasik dengan ungkapan rumahku syurgaku. Namun, tanpa trait personaliti pasangan masing-masing yang berakhlak mulia, berfikiran terbuka, berilmu dan bertakwa, maka ia akan menjadi cuma manis dibibir tetapi pahit dihati. Setiap manusia miliki maruah, harga diri, perasaan dan keazaman untuk mencapai nirwana kendiri yang dicita-citakan. Citra dan nirwana kehidupan akan menjadi pudar jika rumahtangga disirami dengan perkataan-perkataan negatif yang mengundang rasa;

1.Sedih
2.Kecewa
3.Terkilan
4. Hilang Selera Makan
5. Meluat
6. Benci
7.Sakit Hati
8.Dendam


Jika hati sudah luka, maka ia pasti menjadikan seseorang itu merasa tidak selamat, ingin menjauh dan hilang rasa hormat terhadap orang yang melukakan hati dan maruah kendirinya. Dengan ilmu pengetahuan yang saya paparkan ini, moga akan banyaklah pasangan suami isteri dalam kalangan rakyat Malaysia yang bersedia untuk bermuhasabah, menilai konsep kendiri sendiri dan seterusnya melangkah untuk bertindak menjadi suami atau isteri yang bertakwa, bertanggungjawab dan gigih untuk memperkasa kebajikan dan pembangunan jasmani, emosi, rohani dan intelek pasangan masing-masing khususnya dan juga anak-anak amnya,

Haraplah selagi bernafas.
Even the Moron have a dream.

No comments:

Post a Comment